Isnin, 3 Mac 2008

accessories show woman's personalities??

this an article from Utusan Malaysia about woman accessories and also some tips to take care of your accessories.


Aksesori penuhi keperibadian wanita
Oleh ROSLAH OTHMAN


SELAGI bergelar wanita, keinginan untuk kelihatan cantik, menarik dan menjadi perhatian sememangnya tidak pernah padam.

Ia bukan sahaja merujuk kepada memiliki wajah tanpa kesan cela, bertubuh langsing dan mengayakan pakaian berjenama, tetapi turut mengambil kira pemakaian perhiasan diri atau lebih tepat barang kemas.

Pemakaian perhiasan diri biarpun hanya dipadankan sebentuk cincin atau anting-anting, tetap mempunyai tarikan dan mampu menyerlahkan penampilan.

Sesetengahnya pula berpendapat membeli perhiasan diri bukan sekadar menambah seri penampilan, bahkan satu pelaburan bijak kerana nilainya yang semakin bertambah dari sehari ke sehari.

Sebagai contoh jika kita membeli rantai emas 916 bernilai RM500 pada kira-kira 10 tahun lalu, mungkin pada hari ini harganya sudah mencecah lebih RM1,000.

Malah, kegilaan wanita dalam memiliki barang perhiasan diri ini bukan lagi perkara menghairankan apabila ada sesetengahnya sanggup berbelanja hingga ratusan ribu ringgit semata-mata mahu mendapatkan apa yang diidamkan.

Cuba bayangkan, apabila emas diikat delima dan berlian, keindahannya pasti menyerlah, serinya pula berkilauan menarik setiap pandangan.


Bergaya


Maka, tidak hairanlah satu set boleh mencapai harga berpuluh ribu ringgit.

Pun begitu bagi wanita yang kurang berkemampuan, bukan alasan untuk mereka tidak boleh bergaya sama seperti wanita lain.

Ini kerana, pelbagai hiasan diri yang terdapat di pasaran hari ini terutama dihasilkan daripada gandingan pelbagai jenis logam seperti perak, rodium serta batu permata separa berharga, jade dan kristal.

Biarpun harga dan nilainya tidak setinggi barangan kemas yang diperbuat daripada emas atau berlian lain, ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

Ini diakui pemilik butik aksesori terkenal Mori Pin, Kuah Chai Wei sambil menegaskan apa yang ditawarkan di pasaran hari ini memberikan pilihan yang lebih banyak untuk wanita yang sentiasa dahagakan kelainan dan kesegaran gaya dengan pelbagai variasi.

Menurutnya, hasil sentuhan kreativiti si pereka, gemerlapan barang perhiasan diri ini mampu mewujudkan gaya tersendiri dan personaliti si pemakai.

Apa yang jelas, hari ini katanya, aksesori perhiasan yang dihasilkan daripada batu permata batu akuamarin (biru laut), kunzite (merah jambu cair), quarts (hijau jernih, merah jambu dan kuning) dan pelbagai lagi yang dahulunya jarang kedengaran, kini telah mula menghiasi jari, tangan, dada, telinga dan leher wanita.

‘‘Perhiasan diri yang bukan diperbuat daripada emas dan berlian, semakin mendapat tempat di hati kebanyakan wanita, bukan sahaja kerana harganya lebih murah dan mudah dijaga, tetapi mempunyai keistimewaan tersendiri,” ujarnya.

Di Mori Pin katanya, tidak terkecuali menawarkan pelbagai pilihan perhiasan diri wanita yang amat mementingkan cita rasa dan keperibadian wanita yang semakin bijak bergaya.

Katanya, rekaan dan gaya barang perhiasan dan aksesori yang terdapat di butik tersebut dihasilkan begitu sempurna dengan gabungan motif kontemporari dan tradisional, sekali gus memberikan nafas baru kepada industri barang perhiasan diri.

‘‘Apa yang kami tawarkan di sini memberi pilihan yang lebih luas kepada wanita dan remaja bertukar-tukar gaya pada setiap hari mengikut keperluan majlis dan suasana,” ujarnya yang mengakui pelanggan boleh memiliki koleksi perhiasan diri dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Katanya, kesemua produk diimport dari Hong Kong, Korea dan Thailand.

Menarik perhatian

Datang dalam pelbagai rekaan dan warna-warna menawan, sama ada jernih dan pekat ia menjadi salah satu faktor yang menarik perhatian golongan wanita untuk memiliki koleksi ini.

Lebih menarik, apabila terdapat juga hiasan diri saduran emas yang digunakan, misalnya emas putih atau kuning.

Tidak terkecuali turut mencuri tumpuan pelbagai aksesori lain seperti kerongsang, pin rambut, jam tangan dan sebagainya yang memberi pilihan kepada pelanggan menyempurnakan lagi penampilan mereka.

Berkongsi ilmu kata Chai Wei, sebelum memilih aksesori seseorang itu perlu mengambil kira beberapa perkara.

Ini termasu, kesesuaian bentuk badan, pakaian selain majlis yang bakal dihadiri.

Sekiranya mana-mana aspek tersebut diabaikan, penampilan seseorang akan kelihatan tidak sempurna dan janggal di pandang mata.

‘‘Jika anda memakai pin di kiri bahu, cuba pakai rantai tangan di pergelangan tangan kanan atau sebaliknya.

‘‘Begitu juga apabila memakai rantai dan pin, kedua-duanya harus ringkas. Rantai sepatutnya lebih panjang untuk mengelakkan bahagian itu kelihatan serabut,” ujarnya yang telah membuka empat buah cawangan butik iaitu di Pusat Beli Belah Bangsar, Bangsar Village, Sri Hartamas dan One Utama.

Demi kepuasan pelanggan juga, butik yang sudah beroperasi hampir sembilan tahun itu tidak terkecuali menghasilkan pelbagai perhiasan diri hasil idea pereka butiknya sendiri.

Selain menampilkan rekaan berbeza, harga yang ditawarkan dari serendah RM19.90 hingga setinggi RM900 memberi pilihan kepada golongan wanita untuk tampil anggun.

Panduan menjaga barang perhiasan diri dan aksesori

* Jika menggunakan barangan perhiasan untuk seharian, elok jika ia digantung di tempat khas. Ini bagi mengelakkan barangan kemas bersimpul. Bagi anting-anting dan cincin pula, carilah kotak menarik untuk menyimpan barangan kesayangan anda itu.

* Elak menyembur pewangi secara terus kepada barang perhiasan anda. Biarkan kesan pewangi kering sebelum memakai aksesori bagi mengelakkan barangan tersebut cepat rosak.

* Jangan menyimpan aksesori yang diperbuat daripada emas dan perak di tempat sama.

* Bersihkan dengan kain kering selepas digunakan kerana kesan peluh boleh menyebabkan warna aksesori cepat luntur.

Tiada ulasan: